PROGRAM RIDE KASIH MERDEKA H20 SANTUNI ANAK YATIM

BALING: Memelihara, dan menyantuni anak yatim merupakan perbuatan mulia sebagaimana Rasulullah SAW amat mengasihi dan menyayangi mereka sehingga menyebutkan baginda akan bersama anak yatim di syurga.

Atas dasar rasa kasih sesama saudara, 63 peserta konvoi bermotosikal telah menganjurkan Ride Kasih Merdeka H20: Santuni Anak Yatim bagi menyampaikan bantuan kepada penghuni di Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak-anak Yatim dan Miskin Al-Taqwa, Baling, Kedah, baru-baru ini.

Menurut Pengetua Inasis SME Bank, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Che Mohd Aziz Yaacob, lawatan kasih ke rumah anak yatim ini untuk memberi sumbangan keperluan harian di samping melaksanakan aktiviti bermanfaat lain bagi memenuhi tanggungjawab sosial UUM dengan menyantuni komuniti serta memastikan limpahan implikasi positif sebuah universiti dapat dirasai oleh rakyat kedah.

Program anjuran staf Inapan Siswa SME Bank dengan kerjasama Utara Peace Bikers Club (UPBC), sebagai penyumbang utama bagi penyerahan barangan keperluan harian kepada rumah anak yatim ini sempena menyambut bulan kemerdekaan.

Hal ini seiring dengan hasrat Naib Canselor yang inginkan setiap jabatan dalam universiti turut serta membantu komuniti setempat.

“Jadi, sempena menyambut bulan kemerdekaan kali ke-65 bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, pihak Inapan Siswa SME Bank tidak ketinggalan menerapkan semangat patriotik terhadap negara.

“Program ini melibatkan 30 staf UUM dan 33 penunggang lain yang berkonvoi dengan motosikal dari UUM ke Baling bagi menyampaikan bantuan dan derma dalam bentuk makanan, kewangan dan peralatan kemudahan asas,” ujarnya.

Selain UPBC, turut terlibat dalam program yang mendapat sambutan menggalakkan ini termasuk Brothers Bikers, Komuniti Permotoran Sahabat Kembara Jitra Crew dan Baling Riders Club.

Peserta, Siti Aisyah berkata, konvoi bermotosikal yang melibatkan motosikal berkuasa kecil sehinggalah berkuasa besar berlangsung seawal pagi bermula dari Welcome Centre UUM sejauh 80 kilometer.

“Saya bersyukur kerana aktiviti berjalan dengan lancar, selain membantu mereka yang memerlukan, kami juga berkesempatan menikmati keindahan alam sekitar di Daerah Baling yang kaya dengan kehijauan alam.

“Keseluruhan program amat baik, tujuan serta objektif yang jelas dan saya berasa bertuah menyertai misi mulia menyantuni anak yatim untuk menyampaikan sumbangan yang menandakan prihatin terhadap mereka yang kesusahan,” kongsinya.

Beliau berharap program yang dijalankan ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dengan aktiviti membantu serta membangunkan sahsiah dan kecemerlangan penghuni rumah anak yatim dan miskin ini.

Dalam program ini, peserta turut membersihkan kawasan sekitar dan menyusun atur kelengkapan yang sediakan dalam aktiviti gotong-royong agar lebih kemas dan teratur selain membaik pulih kemudahan yang telah rosak terutamanya peralatan yang menjimatkan air bagi memberi keselesaan kepada anak-anak yang tinggal di rumah tersebut.

Turut diadakan aktiviti berbentuk kempen dan riadah kepada anak-anak yatim dan miskin bagi menerapkan nilai kesedaran penjimatan air bagi menjamin kelestarian dan persekitaran yang kondusif. Ceramah kesedaran dan stimulasi penggunaan air dijalankan dalam bentuk permainan agar peserta mudah faham untuk menggunakan air secara berkesan dan menjimatkan.

Kemuncak program ini adalah kenduri makan tengah hari yang menyaksikan staf Inasis SME Bank memasak dan menyediakan juadah kepada peserta sebagai tanda kasih sesama saudara.

Mobirise

© Copyright 2023 Living Campus - All Rights Reserved

AI Website Builder