PROGRAM PEMBANGUNAN MINDA KEUSAHAWANAN KONTEMPORARI

UUM ONLINE: Seramai 64 pelajar Kolej Agama Sultan Abdul Hamid (KASAH) menyertai program Pembangunan Minda Keusahawanan Kontemporari di Universiti Utara Malaysia (UUM) selama dua hari, baru-baru ini.

Program yang disertai oleh pelajar aliran keusahawanan KASAH itu turut melibatkan 5 guru pengiring kolej berkenaan dan 11 fasilitator di kalangan pelajar UUM yang turut sama membantu menjayakan program ini.

Pelbagai aktiviti dan slot menarik diadakan sepanjang program berlangsung seperti slot perkongsian pengalaman usahawan daripada alumni UUM, slot inovasi kreatif usahawan, slot usahawan dan media sosial, permainan sukan golf dan lawatan di sekitar UUM.

Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni UUM, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar berkata, program keusahawanan seumpama ini dapat memupuk minat pelajar untuk terus menceburi bidang keusahawanan kelak di samping melakukan inovasi baharu yang mampu bersaing dengan pasaran luar.

“Atas kesedaran ini, program ini diadakan bagi melahirkan pelajar yang kreatif dalam melakukan inovasi baharu seiring dengan perkembangan teknologi dan saya berharap agar pelajar dapat memanfaatkan ilmu yang mereka perolehi ini sebaik mungkin,” katanya.

Tambahnya, Universiti sedia bekerjasama berkongsi ilmu, kemahiran dan pengalaman dengan agensi luar demi pembangunan agama, bangsa dan negara.

Majlis penutupan program ini yang telah disempurnakan oleh Dr. Lily Julienti turut dihadiri Pengetua KASAH, Mohd Haris Faiza Abd Aziz Al-Hafiz, Timbalan Pengarah Pusat Alumni UUM, Halim Md Yatim, Pengetua Inasis Yayasan Al-Bukhari dan Bank Mualamalat UUM, Mohd Ilyas Soffian.


© Copyright 2023 Living Campus - All Rights Reserved

HTML Builder