200 PEMIMPIN PELAJAR UUM, UniMAP IKUTI FORUM UNDI 18

UUM ONLINE: Seramai 200 pemimpin pelajar daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengikuti forum bertajuk Undi18: Sumbangan Kepada Kestabilan Negara di Pusat Penginapan Pelajar (SAC) UUM, baru-baru ini.

Forum berkenaan menampilkan barisan panel terdiri Ketua Penolong Pengarah, Kluster Kenegaraan Institut Kepimpinan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD), Zairin Izwan Zainal Abiddin; Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar UUM Sesi 2021/2022 Muhammad A`Linur Ahlam Abu Bakar dan Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar UniMAP Sesi 2021/2022, Ahmad Akif Syakirin Mohd Adnan bersama moderator Meor Al-Afif Al-Jamalullail.

Forum berkenaan dianjurkan sejajar dengan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan 2019 yang telah diluluskan di Dewan Negara pada 25 Julai 2019, menatijahkan warganegara berusia 18 tahun dibenarkan mengundi secara automatik dan boleh menjadi calon berbanding usia 21 tahun sebelum ini.

Perubahan dimensi baru dalam dunia politik itu dilihat dapat mengubah landskap politik negara. Sehubungan itu, pelbagai program perlu dianjurkan bagi memastikan bakal pengundi muda ini perlu mempunyai kesedaran, memahami dan menghayati kepentingan ilmu politik, demokrasi dan hak sebagai pengundi dalam pilihan raya.

Melalui Undi 18 ini juga dilihat mampu memberi kesegaran dari segi (kepimpinan) parti politik dan dasar kerajaan dalam jangka masa yang panjang.

Undi 18 ini juga merupakan satu platform bagi menggalakkan penglibatan golongan anak muda secara langsung mahupun tidak langsung bagi membudayakan amalan demokrasi negara.

Forum anjuran Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad (IPDM) dengan kerjasama i-LEAD, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, UUM dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UniMAP itu turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan Pengarah IPDM, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman.

© Copyright 2023 Living Campus - All Rights Reserved

HTML Website Builder