MAHASISWA SELAMI KEHIDUPAN ORANG ASLI KENSIU
UUM ONLINE: Seramai 76 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) turun padang menyantuni masyarakat Orang Asli suku Kensiu dalam program ‘Indigenous to Genius’ di Kampung Lubuk Legong, Baling, Kedah, baru-baru ini.
Pengarah Program, Nur Afifah Kamal berkata, masyarakat Orang Asli Kensiu telah melalui asimilasi selama bertahun-tahun. Ini dapat dilihat dalam amalan agama mereka, rumah yang mereka diami, mencari rezeki dengan sungai dan pendidikan mereka.
Jelasnya, objektif program yang dikendalikan di bawah Learning Hub: Community Impact Lab INASIS Bank Rakyat dan pelajar kokurikulum Pembangunan Masyarakat kelas 4C adalah untuk mengetahui kehidupan seharian masyarakat Orang Asli Kensiu di samping mewujudkan jalinan antara pelajar INASIS Bank Rakyat dengan masyarakat.
“Ini merupakan program kemasyarakatan pertama diadakan di bawah anjuran INASIS Bank Rakyat, setelah dua tahun terhenti ekoran pandemik Covid-19, yang mendapat kerjasama Pejabat Parlimen Baling dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Katanya, usaha ini berupaya menyemai semangat kesukarelawanan dalam diri pelajar sambil belajar tentang masyarakat Orang Asli Kensiu.
“Kami juga sedikit sebanyak mengenali budaya mereka yang unik, berjalan dalam hutan melalui denai, sungai yang cantik menghayati suasana kampung yang mendamaikan,” katanya.
Dia bertuah kerana dapat menyelami kehidupan Orang Asli Kensiu, terutamanya rutin mereka di hutan selain menghulurkan bantuan kepada masyarakat menerusi pelbagai aktiviti yang dijalankan selama 3 hari 2 malam.
Antaranya khidmat bakti dengan membersihkan kubur, membaik pulih surau, mengecat kembali surau untuk kegunaan komuniti, meluangkan masa bersama-sama anak-anak Orang Asli Kensiu serta memberi pakaian percuma hasil kutipan orang ramai.
“Dengan cara ini, bukan sahaja pelajar dapat merasai keseronokan menjadi sukarelawan, tetapi mereka juga dapat mempelajari kemahiran orang asli dan mewujudkan hubungan yang lebih bermakna,” kongsinya dalam program yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Sementara itu, seorang sukarelawan, Ahmad Subhi Zolkafly turut berkongsi momen paling manis melihat kebudayaan Orang Asli Kensiu yang merupakan suku terkecil dalam kelompok orang asli di dunia.
“Walaupun telah berasimilasi dengan kehidupan moden dan ramai yang telah masuk Islam, kebudayaan mereka tetap diamalkan dengan mengubah corak persembahan dari pemujaan kepada sesuatu kepada persembahan kebudayaan agar dapat diwarisi oleh anak-anak mereka.
“Bukan itu sahaja, pengalaman kami meneroka masuk ke hutan di kawasan Baling juga tidak dapat dilupakan kerana peserta berpeluang mengenali pelbagai spesis akar kayu yang digunakan dałam perawatan tradisional,” ujarnya yang juga pelajar Ijazah Doktor Falsafah Teknologi Maklumat.
Dia mengakui pengalaman yang dilalui memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar dan membina rangkaian kenalan selain mempelajari dan mengenali gaya hidup mereka.
Subhi berharap melalui program ini peserta dapat mempelajari adat dan budaya serta mendekatkan diri dengan aktiviti sukarelawan dalam melahirkan generasi yang penyayang, bersatu padu dan berbudi luhur.
AI Website Generator