All News

CeTMA HASILKAN 39 JURULATIH KAJIAN KUALITATIF DAN PERISIAN ATLAS.ti

CeTMA HASILKAN 39 JURULATIH KAJIAN KUALITATIF DAN PERISIAN ATLAS.ti

IMAGE.png

Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA) Universiti Utara Malaysia telah membimbing dan menghasilkan seramai 39 orang jurulatih kajian kualitatif dan perisian berkomputer ATLAS.ti. Kesemua jurulatih tersebut yang merupakan pensyarah dan penyelidik pascasiswazah dari 11 institusi pengajian di Malaysia baru-baru ini telah menyempurnakan program “Training of Trainers (ToT)” dengan dibimbing oleh dua orang pakar kualitatif, iaitu Profesor Madya Dr. Sarimah Shaik Abdullah, pensyarah Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) UUM dan juga Profesor Madya Dr. Ani Munirah Mohamad, pensyarah Pusat Pengajian Undang-undang (SOL) UUM dan juga felo penyelidik kanan CeTMA.

Program TOT ini telah berlangsung secara dalam talian selama 5 bulan, iaitu dari bulan Julai sehingga Disember 2023.

Peringkat pertama program ini ialah pendedahan secara intensif oleh dua orang pembimbing program. Dr. Sarimah telah membentangkan asas kualitatif dan strategi mengajar ilmu kualitatif kepada para penyelidik. Seterusnya, Dr. Ani telah berkongsi tip dan strategi untuk mengajar perisian kualitatif berkomputer ATLAS.ti. Perisian ATLAS.ti ialah perisian analisis tekstual, gambar, audi dan audio bagi membantu para penyelidik menganalisis data secara kualitatif. Dr. Ani juga merupakan jurulatih kanan profesional yang telah ditauliahkan oleh pihak ATLAS.ti Scientific Development GmbH yang berpengkalan di Berlin, Jerman.

Peringkat kedua program ini ialah pelaksanaan program latihan atau kursus kualitatif dan ATLAS.ti oleh peserta TOT kepada komuniti masing-masing. Para peserta TOT boleh mengajarkan kursus atau bengkel masing-masing secara bersemuka atau dalam talian. Tujuan pelaksanaan ini ialah untuk mengasah kemahiran para jurulatih di samping menimba pengalaman sebagai jurulatih kualitatif dan ATLAS.ti.

Peringkat akhir program TOT ini ialah pembangunan eportfolio kejurulatihan masing-masing bagi mendedahkan kepakaran serta program latihan dan kursus yang ditawarkan oleh para peserta TOT kepada masyarakat umum.

Pengarah CeTMA, Profesor Madya Dr. Masnita Misiran mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan selamat maju jaya kepada kesemua 39 orang jurulatih kajian kualitatif dan perisian ATLAS.ti yang dilahirkan melalui program TOT ini. Ucapnya, “CeTMA mempunyai kepakaran dan kemahiran untuk membimbing para penyelidik menjalankan kajian berbentuk kualitaif, dan menganalisis data dengan dibantu perisian berkomputer ATLAS.ti.”

“Adalah diharapkan kesemua peserta TOT akan meneruskan tradisi CeTMA iaitu menyampaikan bengkel dan latihan berkualiti dalam aspek kajian kualitatif dan analisis data menggunakan perisian ATLAS.ti”, tambah Dr. Masnita ketika menyampaikan sijil tamat program TOT dalam majlis graduasi program ini pada 28 Disember 2023 yang lalu.

Susulan kejayaan program sulung TOT ini, permintaan telah meningkat untuk pengambilan Kohort 2. Oleh itu, pengambilan Kohort 2 untuk program TOT kajian kualitatif dan analisis data menggunakan perisian ATLAS.ti akan dilancarkan pada pertengahan tahun 2024 dan akan dihebahkan melalui portal rasmi CeTMA.