All News

UUM tuan rumah Mesyuarat Projek Transnasional Perubahan Iklim Erasmus+

UUM tuan rumah Mesyuarat Projek Transnasional Perubahan Iklim Erasmus+


Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist
,

 

Oleh Dr. Mohamad Farhan Mohamad Mohsin/UUM Today

SINTOK, 6 Mei – Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Projek Transnasional kali kelima bagi geran penyelidikan antarabangsa Erasmus+ Pembangunan Kurikulum Polisi dan Undang-undang Perubahan Iklim (CCP-LAW) bermula 23 hingga 25 April lalu.

Mesyuarat tersebut diikuti dengan lawatan saintifik ke GeoPark Global UNESCO di Pulau Langkawi sehingga 27 April.

Seramai 32 delegasi daripada 10 institusi dari enam buah negara telah berkumpul di UUM bagi membincangkan perkembangan terkini projek penyelidikan dan pembangunan kurikulum baharu dalam polisi dan undang-undang perubahan iklim.

Selain UUM, institusi lain yang terlibat dalam Mesyuarat ini ialah European Knowledge Spot dan PEDMEDE (Greece), Coventry University (UK), Universitat de Girona (Sepanyol), Hanoi Law University dan Hue University (Vietnam), Marwadi University dan Symbiosis International (Deemed University) (India), serta Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Bagi mewakili UUM, seramai lima peserta telah hadir ke mesyuarat tersebut iaitu Prof. Madya Dr. Haslinda Mohd Anuar selaku Ketua Penyelidik serta Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab dan Prof. Madya Dr. Ani Munirah Mohamad (SOL), Dr. Wan Norhayati Wan Ahmad (TISSA) dan Dr. Mohamad Farhan Mohamad Mohsin (SOC).

Ahli mesyuarat sebelum ini pernah mengadakan pertemuan transnasional kali pertama secara dalam talian, kali kedua di Sepanyol diikuti pertemuan kali ketiga dan keempat di India.

Delegasi turut dibawa berjumpa dengan barisan pengurusan UUM serta melawat beberapa pusat tanggungjawab UUM seperti Anjung Tamu, Perpustakaan Sultanah Bahiyah, Muzium Pengurusan UUM, U-Assist dan Pusat Pengajian Undang-Undang.

Pertemuan dengan pengurusan UUM telah dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), prof. Dr. Russayani Ismail di mana delegasi telah didedahkan mengenai pelbagai inisiatif kelestarian kampus yang dilaksanakan di UUM melalui taklimat oleh Pengarah Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA), Prof. Madya Dr. Masnita Misiran @ Bakun.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Prof. Madya Dr. Nor Idayu Mahat, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC).

Prof. Dr. Russayani berkata, hasil daripada projek ini ialah kurikulum baharu Sarjana Undang-undang dan Polisi Perubahan Iklim yang akan ditawarkan oleh universiti yang terlibat.

Menurutnya, UUM berbangga menjadi salah satu daripada universiti yang diamanahkan oleh Kesatuan Eropah melalui projek Erasmus+ ini dan selanjutnya akan menawarkan program baharu ini, selaras dengan keperluan semasa aspek perubahan iklim dunia.

“Tiga aspek utama yang ditekankan dalam kurikulum baharu tersebut ialah aspek polisi dan undang-undang, teknikal dan pengurusan,” katanya.

Selain itu, Penolong Naib Canselor Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) merangkap Dekan SOL, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab berkata, secara keseluruhannya, Mesyuarat Projek Transnasional ini telah mencapai objektif penganjuran, khususnya untuk pembangunan kapasiti para delegasi mengenai kaedah pengajaran dan pembelajaran interaktif untuk diterapkan dalam kurikulum baharu itu nanti, serta platform pembelajaran berterusan yang akan digunakan dalam penawaran program itu kelak.