21 SEPTEMBER 2023 / 5 RABIULAWAL 1445H
=====================================
Oleh: Hasliza Shafie
Gambar oleh: CeTMA
UUM PERKUKUH KERJASAMA DENGAN MPKP
UUM ONLINE: Jitra - Universiti Utara Malaysia (UUM) terus komited memperkukuhkan jalinan kerjasama dengan pihak luar dalam pelbagai aspek termasuk kelestarian alam sekitar.
Sehubungan itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP), Badrulhisham Sulaiman, baru-baru ini.
Dr. Mohd Foad berkata, tujuan kunjungan itu adalah untuk berbincang tentang pelbagai perkara penting yang berkaitan dengan kelestarian alam sekitar dan isu-isu sisa pepejal di dalam kampus.
“Ini adalah satu langkah yang signifikan dalam rangka meningkatkan kerjasama antara UUM dan MPKP dalam konteks pembangunan lestari,” ujar beliau.
Sementara itu, Badrulhisham merakamkan penghargaan kepada UUM atas inisiatif untuk membangunkan kampus yang mesra alam sekitar dan menggalakkan kerjasama antara pihak berkuasa tempatan dalam program-program yang berimpak tinggi.
Menurutnya, pihak MPKP menyokong sepenuhnya usaha UUM untuk meningkatkan kesedaran tentang kelestarian alam sekitar dan amalan mesra alam dalam kalangan pelajar dan staf yang turut akan memberikan manfaat kepada masyarakat setempat terutama di kawasan Changlun.
Dalam perjumpaan itu juga turut membincangkan tentang kolaborasi penganjuran program-program kerjasama dalam usaha melindungi alam sekitar dan mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).