UUM Online: Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA), Universiti Utara Malaysia telah dijemput oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk berkongsi kepakaran menjalankan kajian kualitatif dalam bidang kesihatan dan analisis data menggunakan perisian berkomputer ATLAS.ti.
Bagi tujuan ini, CeTMA telah melantik felo penyelidik kanan iaitu Profesor Madya Dr. Ani Munirah Mohamad yang juga pensyarah di Pusat Pengajian Undang-undang, UUM dan jurulatih bertauliah profesional kanan ATLAS.ti bagi menyampaikan bengkel tersebut pada 1 Ogos 2023.
Bengkel pemindahan pengetahuan kajian kualitatif dan ATLAS.ti tersebut yang berlangsung sehari suntuk di pejabat Bahagian Dasar & Perancangan Strategik Farmasi, KKM di Petaling Jaya, Selangor telah melibatkan seramai 30 orang pegawai KKM.
Pengarah CeTMA, Profesor Madya Dr. Masnita Misiran @ Bakun menyatakan, “Pengalaman selama lebih 13 tahun Dr. Ani menjalankan kajian kualitatif dengan menggunakan perisian ATLAS.ti adalah antara kepakaran yang ada di CeTMA dan ditawarkan kepada komuniti dalaman UUM dan juga selain UUM.”
“CeTMA sentiasa komited dengan kecemerlangan penyelidikan, dan mengalu-alukan sebarang peluang kerjasama dalam aspek kajian kualitatif dan analisis data dengan perisian ATLAS.ti supaya pertukaran ilmu dan pengalaman dapat dilaksanakan dalam suasana kolaboratif”, tambah beliau.