UUM Online: Pada 23 November 2022, Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA) telah menganjurkan webinar bertajuk “Qualitative Research and Data Analysis” melalui platform Facebook Live. Perkongsian yang distrim secara maya melalui rakan penganjur Doctorate Support Group (DSG) telah dihadiri secara langsung oleh lebih kurang 150 peserta, dan rakamannya boleh ditonton pada bila-bila masa di laman Facebook DSG.
Panelist pertama, Dr. Wan Norhayati Wan Ahmad, pensyarah kanan di Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Putri Intan Safinaz (TISSA-UUM) telah berkongsi potensi penggunaan kanvas kumpulan berfokus (Focus Group Discussion-FGD Canvas) bagi tujuan pengumpulan data kualitatif. Beberapa contoh FGD Canvas telah dikongsikan untuk menggambarkan proses pengumpulan data kumpulan berfokus secara efektif.
Panelis kedua, Dr. Azharudin Ali, pensyarah kanan di TISSA-UUM dan juga felo di Institute for Strategic and Sustainable Accounting Development (ISSAD) telah berkongsi pengalaman beliau menjalankan penyelidikan membabitkan komuniti B40, memfokuskan kepada cabaran yang dihadapi ketika membuat pengumpulan data dan juga strategi yang dilaksanakan untuk mengatasi cabaran-cabaran tersebut.
Sementara itu, panelis ketiga, Dr. Nor Intan Saniah Sulaiman, pensyarah kanan di Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) dan felo Institute for Psychoterapy, Correctional dan Rehabilitation (iPSYCORE) menceritakan kajian kualitatif melibatkan media sosial daripada Facebook, Instagram dan beberapa media sosial lain. Beliau turut memberikan pelbagai contoh kes dan isu yang berpotensi dianalisis daripada media sosial.
Akhir sekali, panelis keempat, Prof. Madya Dr. Ani Munirah Mohamad dari Pusat Pengajian Undang-undang (SOL) dan felo CeTMA telah berkongsi konsepsualisasi analisis kualitatif daripada pengumpulan data sehingga selesai proses analisis. Beliau turut menunjukkan demonstrasi analisis data menggunakan perisian ATLAS.ti melibatkan data kualitatif pelbagai format seperti fail tekstual dan gambar.
Rata-rata peserta yang mengikuti bengkel tersebut menyatakan mereka berpuas hati dengan perkongsian panelis melalui webinar ini. Pengarah CeTMA, Prof Madya Dr. Masnita Misiran @ Bakun menyatakan penghargaan kepada semua peserta yang memberikan sokongan kepada program anjuran CeTMA. Ujar beliau: “CeTMA merancang pelbagai program dan perkongsian yang memfokuskan analitik data, antaranya data raya, data kualitatif dan kuantitatif, selaras dengan hasrat universiti untuk menjadikan UUM sebuah hub penyelidikan yang terkemuka.”