UUM Kerjasama Dengan Tiga Universiti UA
Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, MOA ini adalah cetusan pihak pengurusan dan penyelaras UTHM yang telah menggerakkan inisiatif geran sepadan melalui Collaborative Research Grant (CRG) antara kesemua universiti terlibat.
Katanya, MOA ini merangkumi jalinan kerjasama akademik, penyelidikan dan perundingan yang memberi impak besar kepada empat universiti ini akibat Covid-19.
“Pengkajian mengenai isu-isu kesihatan seperti kemurungan, kebimbangan, keterujaan, kesedihan dan tekanan yang dizahirkan dalam konteks pengajaran dan pembelajaran serta tugasan lain di universiti ini akan dilakukan,” ujar beliau lagi.
Dalam konteks ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad katanya telah mengadakan beberapa siri pertemuan dengan pelajar dan pensyarah universiti bagi mendapatkan maklumbalas berhubung impak Covid-19 seterusnya menyarankan agar tindakan dibuat untuk menangani sebarang isu dan permasalahan yang timbul susulan pandemik yang melanda.
Haim Hilman menambah bagi menyahut saranan Menteri Pengajian Tinggi itu maka UUM menyambut baik pelaksanaan geran sepadan CRG bersama dengan UTHM, UMK dan UMP yang melibatkan sumbangan dana berjumlah RM40,000, iaitu sumbangan sebanyak RM10,000 disumbangkan oleh setiap rakan universiti.
Bagi tujuan ini, seramai enam penyelidik UUM diketuai oleh Felo Penyelidik di Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA), Prof. Madya Dr. Ani Munirah Mohamad bersama-sama 17 penyelidik dari UTHM, UMK dan UMP akan menjalankan kajian dalam konteks universiti masing-masing.
Biarpun Malaysia kini sedang melalui fasa endemik, kajian ini yang bertajuk Assessing Happiness Level In Relation To Productivity Among Universities Employees During Pandemic dilihat amat penting dan mustahak bukan sahaja kerana pandemik Covid-19 yang telah menyebabkan gangguan sosial dan ekonomi pada skala global, tetapi lebih utama kerana staf di institusi pengajian tinggi turut merasa kesan pandemik ini dari pelbagai aspek dalam pekerjaan mereka.
Oleh itu, UUM menyambut baik usaha rakan kolaborator daripada UTHM, UMK dan UMP bagi menjalankan kajian ini untuk menilai tahap kegembiraan bekerja staf di universiti masing-masing, khususnya dalam era pandemik.