UUM ONLINE: Pengumpulan data kajian kualitatif seperti kaedah bersemuka kini telah berubah dalam era pandemik Covid-19 susulan pengisytiharan kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.
Berikutan penularan wabak tersebut, kebanyakan penyelidik kualitatif kini turut mengubah pendekatan dalam menjalankan kajian masing-masing.
Situasi ini berlaku kerana mereka perlu mematuhi perintah penjarakkan sosial, bekerja dari rumah, larangan keluar daerah dan pelbagai arahan lain berhubung PKP.
Atas kesedaran ini, Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA) telah mengadakan sesi perkongsian atas talian bertajuk ‘Kajian Kualitatif dalam Era Pandemik’, baru-baru ini.
Perkongsian ini telah disampaikan oleh felo penyelidik CeTMA iaitu Dr. Ani Munirah Mohamad yang juga pensyarah kanan di Pusat Pengajian Undang-undang (SOL) bersama pensyarah kanan di Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Dr. Nor Intan Saniah Sulaiman.
Menurut Dr. Ani Munirah, pelbagai kaedah pengumpulan data primer kualitatif boleh dilaksanakan dengan menggunakan kemudahan teknologi dan komunikasi seperti kemudahan persidangan video dan audio, pertukaran tekstual menggunakan media sosial seperti WhatsApp atau Telegram, kaji selidik atas talian, penyediaan diari, jurnal, buku log dan nota refleksi.
Menurutnya, pada masa sama, penyelidik perlu menilai kesediaan dan persetujuan peserta kajian untuk menggunakan kemudahan, peranti dan instrumen yang dicadangkan oleh penyelidik.
“Di samping itu, penyelidik juga perlu mengambil kira beberapa aspek etika penyelidikan atas talian, seperti persetujuan termaklum (informed consent) di pihak peserta kajian, serta kerahsian dan keselamatan data atas talian.
“Tambahan lagi, kajian data kualitatif melibatkan data sekunder melalui media sosial di era pandemik ini boleh dijadikan sebagai salah satu alternatif bagi penyelidik yang sentiasa mengikuti isu semasa melalui media sosial,” katanya.
Sementara itu, Dr. Nor Intan berkata, “Apa yang penting, maklumat dan data yang akan dikumpul dan dikaji hendaklah disahkan dan ditentukan kesahihan dengan sumber yang rasmi terlebih dahulu.
“Juga tidak berkecuali, memohon keizinan (consent) daripada pemunya data juga harus diambil kira sebagai menjaga integriti data dan ketelusan data,” katanya.
Seramai 210 ahli akademik dan penyelidik telah menyertai sesi perkongsian atas talian ini.
Pengarah CeTMA, Prof. Madya Dr. Nor Idayu Mahat berkata, beliau berterima kasih kepada semua peserta yang memberikan sokongan untuk program anjuran CeTMA.
Menurutnya, situasi PKP dalam era pandemik ini telah sedikit sebanyak menyebabkan perubahan dalam pendekatan penyelidikan, justeru penyelidik perlu bersedia untuk meneruskan kerja-kerja penyelidikan dalam norma baharu ini.